SOALAN LAZIM

Apakah pengertian wakaf?

  1. Bahasa:
    Berhenti, Menahan, Menghalang
  2. Istilah / Syara' :
    Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebajikan dengan niat mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.

Apakah rukun wakaf?

Terbahagi kepada empat iaitu pewakaf (waqif), harta yang diwakafkan (mawquf), penerima wakaf (mawquf 'alaih) dan penyataan wakaf (sighah).

Apakah jenis wakaf?

Terbahagi kepada dua kategori utama iaitu:

i. wakaf keluarga (ahli) - manfaat wakaf dikhususkan kepada ahli keluarga dan zuriat pewakaf; dan

ii. wakaf kebajikan (khairi) - digunakan bagi tujuan kebajikan semata-mata. Terbahagi kepada dua:

a. wakaf am - digunakan bagi tujuan umum dan tiada syarat yang ditetapkan oleh pewakaf

b. wakaf khas – digunakan bagi tujuan khusus dengan maksud tertentu yang ditetapkan oleh pewakaf.

Apakah faedah wakaf?

Wakaf adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah dan manfaat bukan saja kepada diri pewakaf, malah penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut mendapat kebaikannya. Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala sedekah jariah, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan selain ia meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat.

Apakah pandangan syariah tentang wakaf ?

Hukum wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha. Wakaf adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu sedekah jariah, yang pahalanya besar daripada Allah SWT. Wakaf merupakan tuntutan al-Quran, Sunnah dan amalan para sahabat.

Falsafah wakaf:

  1. Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  2. Untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
  3. Menghapuskan sifat bakhil.
  4. Mendapatkan harta berterusan.
  5. Memberi kebaikan kepada ummah.
  6. Pembangunan/kegunaan anak yatim, orang miskin dan sebagainya.
  7. Menjamin harta itu berkekalan dalam kebajikan.

Siapakah yang layak menerima manfaat wakaf?

Semua golongan termasuk masyarakat bukan Islam (yang tidak memerangi pemerintahan Islam).

Apa pandangan ulama tentang Wakaf Tunai?

Hukum Wakaf Tunai adalah DIBOLEHKAN (harus).

(Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu - Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam).

Apakah yang mendorong penubuhan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM)?

Penubuhan YWM secara hakiki adalah berdasarkan keperluan kewujudan entiti wakaf bagi menguruskan hal ehwal wakaf di peringkat persekutuan. Idea ini dilontarkan pada 25 Mac 2006 di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan (JPBK) yang telah diadakan di Kuala Terengganu. Mantan YAB Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi telah bersetuju agar usaha dan idea ini dilaksanakan secepat mungkin bagi memantapkan lagi pengurusan wakaf di Malaysia.

Siapakah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM?

Seramai 19 orang tokoh terkemuka daripada pelbagai latarbelakang menganggotai LPA YWM dengan dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR) berperanan sebagai Naib Pengerusi. Selebihnya iaitu seramai 16 orang ahli yang lain terdiri daripada wakil setiap MAIN, wakil agensi kerajaan dan tokoh korporat.

Dari mana sumber dana diperolehi dan tempat dana disalurkan?

Sumber dana wakaf yang diperoleh adalah melalui sumbangan wakaf tunai yang diterima dari individu atau badan korporat melalui produk-produk wakaf YWM:

• Skim Wakaf Tunai
o Am
o Khas
Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air)Tabung Wakaf Masjid Hijau
Tabung Cakna Armalah
Program iTekad CIMB Islamic Entrepreneur (Wakaf Bertempoh)
Wakaf Makmal Digital Bahasa Bergerak

o Sijil
Sijil Wakaf Tunai Pendidikan
Sijil Wakaf Tunai Kesihatan
Sijil Wakaf Tunai Pembangunan Ekonomi
Sijil Wakaf Bangunan

• Tunai Wakaf Bank Rakyat - Yayasan Waqaf Malaysia

• Waqf Linked Unit Trust
o Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan
o Dana Maybank Mixed Asset-I Waqf
o Dana Wakaf Bencana

Penyaluran dana wakaf akan ditentukan berdasarkan Tatacara Pengagihan Dana Wakaf Tunai Malaysia YWM. Dana wakaf tunai akan diserahkan kepada MAIN atau mana-mana agensi / pertubuhan / syarikat yang permohonannya dipertimbangkan mengikut keutamaan kategori projek / program sebagaimana berikut:

  1. Keagamaan
  2. Pendidikan
  3. Kesihatan
  4. Ekonomi
  5. Persekitaran
  6. Sosial / kebajikan
  7. Pertanian

Apakah tindakan YWM untuk memastikan ketelusan dalam pengurusannya?

YWM telah membangunkan Sistem Wakaf Tunai Malaysia yang boleh diakses terus oleh setiap pewakaf dengan menggunakan kemudahan internet (real time). Selain itu YWM turut menerbitkan laporan tahunan yang memaparkan laporan kewangan beraudit selain penceritaan aktiviti dan pencapaian YWM.

Apakah langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil oleh YWM untuk mengelakkan berlakunya pecah amanah?

YWM mengamalkan Corporate Governance dan membentuk jawatankuasa audit dalaman yang akan mengekang salah laku. Di samping itu, YWM turut diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan setiap perbelanjaan dipantau sepenuhnya oleh LPA YWM.

Sebagai sebuah institusi Islam, adakah YWM tertakluk kepada badan pengawasan syariah?

Sudah semestinya. YWM mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah yang akan memantau segala aktiviti dan perjalanan YWM agar selaras dengan kehendak Syariah.

Institusi wakaf dilihat mampu untuk membangunkan sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia. Jadi, apakah perancangan masa depan YWM untuk memperkasakan lagi institusi ini?

Selain daripada memberi penekanan dan fokus utama kepada pembangunan projek wakaf, YWM akan memberi penumpuan kepada kesedaran masyarakat mengenai hikmah berwakaf. Kesedaran ini adalah amat penting bagi merealisasikan wakaf sebagai pemacu sosio-ekonomi Ummah, kerana tanpa kesedaran segala usaha memartabatkan wakaf tidak akan bermakna.

Adakah sumbangan wakaf tunai kepada YWM layak mendapat potongan / rebat cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri?

Kelulusan potongan cukai kepada pewakaf yang berwakaf kepada YWM di bawah Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967 telah tamat pada 31 Disember 2021 dan dalam tindakan penyambungan. Justeru, semua pewakafan bermula 1 Januari 2022 adalah tidak layak mendapat potongan cukai sehingga dimaklumkan oleh YWM dari semasa ke semasa.

Adakah YWM mengambil caj perkhidmatan ke atas kutipan wakaf tunai?

Bermula 1 Ogos 2022, YWM dibenarkan mengambil 5% atau apa-apa jumlah % yang dipersetujui Jawatankuasa Penasihat Syariah YWM daripada dana wakaf terkumpul sebagai upah pengurusan kepada YWM.

(Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-136 pada 8 Mac 2022 – bersetuju dengan penetapan kadar caj pengurusan bagi program dan aktiviti wakaf yang dijalankan oleh YWM).


Kongsi Kongsi