Perkenan Keberangkatan KDYMM Pemangku Raja Terengganu ke Kompleks Islam Putrajaya
23-11-2026Putrajaya, 23 November 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu, yang berkenan mencemar duli berangkat mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Bersempena keberangkatan tersebut, KDYMM Tuanku turut berkenan menerima sembah taklimat yang dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWM, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, mengenai peranan strategik YWM dalam memperkasa pembangunan wakaf negara, khususnya di Negeri Terengganu.
Sesi sembah taklimat berkenaan turut memperincikan pelaksanaan projek-projek wakaf berimpak tinggi serta jalinan kerjasama strategik antara YWM dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dalam mengoptimumkan potensi wakaf sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan ummah.
Keberangkatan KDYMM Tuanku merupakan suatu penghormatan yang amat bermakna buat YWM, sekali gus menjadi pendorong untuk terus memperkukuh sinergi bersama pihak berkepentingan dalam memartabatkan institusi wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi dan kemakmuran masyarakat secara mampan.
YWM dengan penuh takzim sekali lagi merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan dan keberangkatan KDYMM Tuanku.
Daulat Tuanku.
'Wakaf Membangun Malaysia MADANI'
TERKINI
Kongsi Kongsi