Aktiviti
Penyertaan Yayasan Waqaf Malaysia Dalam Konvensyen Institusi Amal Islam 2026 Peringkat Kebangsaan
19-11-2026

Kelana Jaya, 19 November 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menyertai Konvensyen Institusi Amal Islam 2026 Peringkat Kebangsaan yang dihadiri oleh YBrs. Encik Abdul Halim Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Ketua Pegawai Eksekutif YWM, sebagai panel jemputan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Konvensyen yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran bersama Yayasan Infaq ANGKASA dan Bahagian Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Bertempat di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku Abdul Aziz, program ini telah menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari seluruh negara, termasuk wakil gerakan koperasi, institusi kewangan Islam, pertubuhan bukan kerajaan, badan kebajikan serta ahli akademik. Menerusi tiga sesi pembentangan utama, para panel berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam tadbir urus, pengurusan kewangan yang telus serta aspek perundangan institusi amal Islam. YWM turut menghantar tiga pegawai untuk menyertai program ini.

Kemuncak konvensyen menyaksikan pembentangan Resolusi Konvensyen Institusi Amal Islam 2026 yang dirumuskan oleh YBrs. Dr. Mohd Azlan bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA. Resolusi ini menggariskan langkah untuk meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan serta memperkukuh kawal selia pentadbiran dan kewangan institusi amal.

YWM komited untuk terus memperkukuh tadbir urus wakaf agar setiap amanah pewakaf diurus dengan telus dan manfaatnya dapat disalurkan secara berterusan kepada masyarakat. Terima kasih atas jemputan oleh pihak penganjur, semoga sesi perkongsian yang disampaikan bermanfaat untuk semua, Insya Allah.


Kongsi Kongsi