Aktiviti
Mesyuarat Potensi Kerjasama Strategik Wakaf Antara Yayasan Waqaf Malaysia Dan CIMB Islamic Bank Berhad
20-08-2024

Kuala Lumpur, 20 Ogos 2024 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM telah mengadakan Kunjungan Hormat ke CIMB Islamic Bank Berhad. Tujuan utama kunjungan adalah untuk meneroka potensi kerjasama strategik wakaf dalam pendanaan dan pembiayaan projek-projek wakaf berimpak tinggi, yang akhirnya memberi manfaat kepada kemaslahatan ummah.

Dalam sesi tersebut, Dr. Ridzwan Bakar telah menyatakan hasratnya kepada Tuan Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif Group Islamic Banking, CIMB Islamic Bank Berhad mengenai visi dan misi YWM pada masa ini adalah untuk mengerakkan wakaf ekonomi dengan sokongan dan penglibatan pihak perbankan Islam, yang dilihat dapat membantu pembangunan wakaf seterusnya melonjakkan ekonomi negara. Turut hadir ialah Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan pengurusan kanan CIMB Islamic Bank Berhad. Semoga kunjungan dan kerjasama ini akan membuahkan hasil positif dalam usaha memperkasakan lagi pengurusan wakaf di Malaysia, Insya Allah.

Sebagai rekod, CIMB Islamic Bank Berhad merupakan antara institusi perbankan yang sentiasa menyokong usaha YWM dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai wakaf sejak tahun 2015, melalui penglibatan dalam beberapa siri jelajah seminar wakaf, taklimat wakaf, santuni masyarakat di bawah Program Prihatin Wakaf dan Program Kayuhan Wakaf. Antara produk kerjasama YWM dan CIMB Islamic Bank Berhad adalah pelaksanaan Wakaf Kuda (Pendidikan), Khazanah Wakaf dan iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur. Jom berwakaf melalui CIMB Clicks!


Kongsi Kongsi