Aktiviti
Kunjungan Hormat Yayasan Waqaf Malaysia Ke Majlis Islam Sarawak
21-05-2026

Kuching, 21 Mei 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Islam Sarawak (MIS) bagi membentangkan Inovasi Platform Digital serta Cadangan Pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf sebagai inisiatif memperkukuh pembangunan institusi wakaf dan sektor kesihatan Islam di negara ini.

Ketibaan delegasi YWM telah disambut mesra oleh YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak, YBrs. Tuan Haji Abang Faisal bin Haji Marzuki, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Sarawak bersama barisan pengurusan tertinggi MIS dalam suasana penuh harmoni.

Pertemuan tersebut menjadi platform penting dalam mempererat hubungan strategik antara kedua-dua institusi ke arah memperkasa agenda pembangunan ummah berteraskan wakaf.

Dalam sesi pembentangan, YWM telah memperincikan pelaksanaan inovasi platform digital yang dirangka bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan wakaf melalui pendekatan teknologi yang lebih efisien, telus dan mampan. Inisiatif tersebut dijangka mampu memperluas penyertaan masyarakat serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan wakaf selaras dengan perkembangan transformasi digital semasa.

Selain itu, YWM juga turut membentangkan cadangan pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf yang berpotensi menjadi model institusi kesihatan Islam berteraskan kebajikan dan kelestarian sosial.

Pihak MIS menyambut baik cadangan yang dibentangkan di mana YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Tahar, Yang DiPertua MIS dalam ucapannya menzahirkan harapan agar kerjasama strategik antara MIS dan YWM dapat dimeterai seterusnya merealisasikan agenda pemerkasaan wakaf negara, khususnya di Sarawak.

Cadangan pembangunan tersebut dilihat mampu menyediakan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi yang menepati prinsip syariah, di samping memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.

Sesi perbincangan turut membuka ruang pertukaran pandangan dan perkongsian idea dalam meneroka peluang kerjasama strategik, khususnya dalam aspek pembangunan wakaf, pendigitalan perkhidmatan serta pengukuhan inisiatif sosial dan kesihatan berasaskan syariah di Sarawak.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh peranan institusi wakaf sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi ummah serta menyokong agenda pembangunan negara yang inklusif, progresif dan mampan.


Kongsi Kongsi