Yayasan Waqaf Malaysia Perkukuh Agensi Pembiayaan Sosial Islam di Majlis Pelancaran Bursa Sosial Malaysia bersama Impakrintas
25-05-2026Kuala Lumpur, 25 Mei 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus memperkukuh agenda pembiayaan sosial Islam negara menerusi penglibatan strategik dalam Majlis Pelancaran Bursa Sosial Malaysia bersama Impakrintas di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Inisiatif ini menjadi langkah penting dalam memperkasa ekosistem pembiayaan sosial yang lebih telus, tersusun dan berimpak tinggi melalui penggunaan instrumen wakaf, infak dan dana sosial secara lebih efektif, mampan serta berteraskan tadbir urus yang baik.
Sebagai simbol komitmen terhadap pembangunan impak sosial negara, YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada projek YOKUK Community Palliative Care bagi membantu pesakit kronik, terlantar dan berpenyakit serius khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan kurang berkemampuan di Gua Musang, Kelantan.
Penyerahan ini juga disaksikan oleh YB Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan; YBhg. Dato' Mohammad Faiz Azmi, Pengerusi Eksekutif SC; dan Puan Sharifatul Hanizah Said Ali, Pengarah Eksekutif, Pasaran Modal Islam SC di hadapan 200 tetamu. Turut hadir dalam majlis ini adalah YBhg. Dato’ Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji merangkap Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM dan YBhg. Dato' VMr. Sr Mohd Mazlan Che Mat yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM.
Kerjasama strategik bersama Impakrintas ini mencerminkan iltizam berterusan YWM untuk memperluas manfaat pembiayaan sosial Islam melalui pendekatan kolaboratif bersama sektor korporat, organisasi bukan keuntungan (NPO) dan institusi berkaitan demi kesejahteraan masyarakat yang lebih menyeluruh, mampan dan berdaya tahan.
TERKINI
Kongsi Kongsi