Aktiviti
Kunjungan Hormat Yayasan Waqaf Malaysia ke Majlis Ugama Islam Sabah
18-05-2026

Kota Kinabalu, 18 Mei 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif telah mengadakan satu kunjungan ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi sesi pembentangan berkaitan inovasi platform digital serta cadangan pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf.

Kunjungan tersebut menjadi medan strategik bagi memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam memperkasa ekosistem wakaf negara melalui pendekatan teknologi digital dan pembangunan sosio-ekonomi berimpak tinggi khususnya dalam sektor kesihatan.

Dalam sesi pembentangan tersebut, YWM telah memperkenalkan beberapa inisiatif inovasi digital antaranya My Digital Agreement Gateway (MyDAG) dan Malaysia Smart Devices yang bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan, ketelusan transaksi serta aksesibiliti masyarakat terhadap platform wakaf secara lebih moden, sistematik dan mesra pengguna.

Pendekatan digital ini diyakini mampu memperluaskan penyertaan masyarakat dalam amalan berwakaf serta memperkukuh tadbir urus institusi wakaf selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Selain itu, turut dibentangkan cadangan pembangunan Hospital Pakar Patuh Syariah Bercirikan Wakaf yang dilihat berpotensi menjadi model institusi kesihatan Islamik berteraskan kebajikan dan kesejahteraan ummah. Projek ini bukan sahaja memberi penekanan kepada pematuhan syariah dalam aspek pengurusan dan perkhidmatan kesihatan, malah turut mengangkat konsep wakaf sebagai instrumen pembangunan sosial yang mampan.

YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Yahya bin Haji Hussin, Yang DiPertua MUIS dalam ucapannya menzahirkan harapan agar kerjasama strategik antara MUIS dan YWM dapat diteruskan dalam merealisasikan agenda transformasi wakaf negara, khususnya di Sabah. Beliau turut menegaskan bahawa gabungan inovasi digital dan pembangunan institusi wakaf berimpak tinggi mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi ummah secara lebih holistik.

Pihak MUIS menyambut baik cadangan dan pembentangan yang dikemukakan serta menyatakan komitmen untuk terus meneroka peluang kerjasama strategik demi memperkukuh pembangunan wakaf dan kesejahteraan masyarakat di negeri Sabah.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan YWM dan MUIS dalam memperkasa institusi wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah yang progresif, inklusif dan berdaya saing pada masa hadapan.


Kongsi Kongsi