Perbincangan Berkaitan Cadangan Penubuhan Permodalan Wakaf Nasional Berhad Bersama Kementerian Kewangan
29-04-2026Putrajaya, 29 April 2026 - Satu sesi perbincangan strategik antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBrs. Dr Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif telah diadakan bersama pihak Kementerian Kewangan (MOF) bagi membincangkan cadangan penubuhan Permodalan Wakaf Nasional Berhad. Kehadiran YWM telah disambut oleh YBrs. Puan Afidah Azwa binti Abdul Aziz, Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Komersial), Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, MOF bersama barisan pegawai kanan.
Perbincangan ini memberi fokus kepada usaha memperkasa instrumen wakaf sebagai pemangkin pembangunan ekonomi ummah secara lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi. Cadangan penubuhan entiti ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam mengoptimumkan potensi aset wakaf melalui pendekatan tadbir urus korporat yang profesional serta pelaburan strategik.
Pelbagai pandangan dan input konstruktif telah dikongsi oleh kedua-dua pihak, khususnya dalam aspek struktur penubuhan, model perniagaan, mekanisme pembiayaan serta pematuhan kepada kerangka perundangan dan syariah.
Diharapkan inisiatif ini mampu membuka lembaran baharu dalam pengurusan wakaf di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi rakyat dan pembangunan negara secara inklusif.
TERKINI
Kongsi Kongsi