Aktiviti
Kunjungan Hormat ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan Pembentangan Inovasi Platform Digital oleh Yayasan Waqaf Malaysia
14-04-2026

Kuala Terengganu, 14 April 2026 - Kunjungan hormat Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diketuai oleh YBrs. Dr Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif kepada YBhg. Dato’ Nara Setia, Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh profesional dan ukhwah. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi di samping meneroka peluang kerjasama dalam memperkasakan pengurusan wakaf dan pembangunan ummah.

Delegasi YWM telah disambut mesra oleh YBhg. Dato' Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif bersama barisan pengurusan tertinggi MAIDAM, diikuti dengan sesi taklimat ringkas mengenai Projek Berimpak Tinggi yang sedang dilaksanakan oleh pihak MAIDAM.

Seterusnya adalah agenda pembentangan inovasi platform digital oleh YWM yang mengetengahkan pendekatan baharu dalam pendigitalan pengurusan wakaf. Platform ini direka bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan serta aksesibiliti kepada masyarakat umum untuk berwakaf secara lebih mudah dan sistematik.

Sesi perbincangan dua hala yang berlangsung selepas pembentangan menyaksikan pertukaran pandangan dan idea yang konstruktif antara kedua-dua pihak, khususnya dalam aspek pelaksanaan teknologi digital dan potensi adaptasi platform tersebut dalam pengurusan wakaf.

Secara keseluruhannya, kunjungan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kerjasama, malah membuka ruang kepada transformasi digital dalam pengurusan wakaf yang lebih efisien dan berimpak tinggi demi manfaat ummah.


Kongsi Kongsi