Aktiviti
Kunjungan Akademik Politeknik Nilai ke Yayasan Waqaf Malaysia
02-04-2026

Putrajaya, 2 April 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berbesar hati menerima kunjungan daripada mahasiswa tahun pertama Program Diploma Kewangan Islam, Jabatan Perdagangan Politeknik Nilai yang diketuai oleh YBrs. Puan Siti Noorain binti Awalludin selaku Ketua Program Diploma Kewangan Islam bersama barisan pensyarah iaitu YBrs. Puan Hajah Norfazila binti Ahmad (Ketua Unit Komunikasi Korporat), YBrs. Puan Fakilah Anurul binti Mohd Azli Navamohan (Penolong Ketua Program Diploma Kewangan Islam) dan YBrs. Puan Anis Farita binti Muhamad Yatim (Pensyarah Diploma Kewangan Islam).

Kunjungan daripada pihak Politeknik Nilai ini yang telah disambut mesra oleh YBrs. Puan Nur Syaffina binti Ab. Rahim, Pengurus Bahagian Dasar dan Pembangunan YWM bersama barisan pegawai YWM di Dewan Syura Utama, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.

Pertemuan ini merupakan platform perkongsian ilmiah yang memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan konsep, pengurusan serta pembangunan wakaf di Malaysia, termasuk aspek tadbir urus dan amalan terbaik dalam memperkasa institusi wakaf secara mampan.

Selain itu, para delegasi turut didedahkan kepada inisiatif dan produk wakaf yang dibangunkan oleh YWM bersama rakan strategik dalam menyokong pembangunan sosioekonomi negara serta peluang penglibatan generasi muda dalam ekosistem wakaf. Sesi ini juga membuka ruang interaksi dua hala melalui sesi soal jawab bagi memperkukuh kefahaman dan minat mahasiswa terhadap bidang wakaf.

Semoga kunjungan ini dapat memberi manfaat serta meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap peranan wakaf dalam pembangunan sosioekonomi ummah di samping melahirkan lebih ramai profesional muda yang berpengetahuan dan beraspirasi untuk menyumbang dalam pembangunan wakaf negara pada masa hadapan.


Kongsi Kongsi