Sumbangan RM20,000 Perkasa Kemudahan Pembelajaran Digital di Melaka dan Johor
17-03-2026Muar, 17 Mac 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah di Melaka dan Johor bagi menyampaikan sumbangan wakaf yang bertujuan memperkasa kemudahan pembelajaran berasaskan teknologi serta menyokong pembangunan pendidikan selaras dengan keperluan semasa.
Destinasi pertama adalah di Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana, Masjid Tanah, di mana YWM telah menyampaikan sumbangan wakaf berjumlah RM3,000.00 bagi tujuan pembelian sebuah televisyen yang ditempatkan di pusat sumber sekolah. Kemudahan ini berfungsi sebagai medium sokongan pembelajaran dan akses maklumat kepada para pelajar. Sekolah yang mempunyai seramai 691 orang pelajar ini menerima manfaat secara langsung melalui penggunaan kemudahan tersebut dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan.
Seterusnya, YWM melawat ke Sekolah Kebangsaan Parit Pechah, Muar, bagi menyampaikan sumbangan wakaf berjumlah RM10,000.00 untuk pembelian papan pintar interaktif (smart board). Kemudahan ini memberi manfaat besar kepada para pelajar dengan menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif dan berasaskan digital, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman serta minat pelajar dalam sesi pembelajaran di dalam kelas.
Setelah itu, rombongan YWM singgah di Sekolah Kebangsaan Sri Jamil, Muar untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM7,000.00 bagi pembelian papan pintar interaktif (smart board) dan tablet. Menurut pihak sekolah, kemudahan ini sangat membantu dalam pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) dengan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih dinamik, interaktif serta berfokus kepada penglibatan aktif murid. Pendekatan ini juga menyokong pembangunan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), di samping menggalakkan komunikasi, kerjasama dan penguasaan teknologi dalam kalangan pelajar.
Kesemua sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat, YWM.
Melalui inisiatif ini, YWM berharap kemudahan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah serta menjadi pemangkin kepada ekosistem pembelajaran yang lebih efektif dan selari dengan perkembangan teknologi masa kini. Semoga sumbangan wakaf ini memberi manfaat berterusan serta menjadi amal jariah yang berkekalan kepada para pewakaf, di samping membantu melahirkan generasi pelajar yang celik digital, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
TERKINI
RM15,900.00 Untuk Maahad Tahfiz Tawai, Gerik
24-03-2026Kongsi Kongsi