Aktiviti
Majlis Iftar Rantaian Kasih Bersama Anak Yatim dan Miskin Di Puteri Bay Hotel Melaka
07-03-2026

Tanjung Kling, 7 Mac 2026 – Saban tahun, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) tidak lupa untuk menganjurkan majlis berbuka puasa bersama penghuni rumah kebajikan. Majlis ini diadakan sebagai tanda keprihatinan dan usaha YWM dalam menyantuni golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim.

Majlis ini turut disempurnakan oleh YB Senator Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Hadir bersama memeriahkan majlis Adalah para jemputan dan rakan strategik yang sentiasa menyokong usaha-usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh YWM.

Dalam majlis yang penuh bermakna ini, seramai 80 orang anak yatim daripada tiga buah pertubuhan kebajikan iaitu Anjung Putra Melaka, Rumah Kasih Tun Abdul Aziz dan Lembaga Pengurusan & Kebajikan Anak Yatim Miskin (PAYASUM) Melaka telah diraikan dalam suasana penuh kasih sayang dan kebersamaan. Selain menikmati juadah berbuka puasa bersama, anak-anak ini turut menerima sumbangan duit raya. YWM juga membuat sumbangan sebanyak RM3,000.00 kepada setiap rumah Kebajikan ini.

Pada majlis yang sama, YWM turut menyampaikan tajaan iftar kepada Masjid Al Hilal, Pantai Rombang sebagai sebahagian daripada usaha memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat setempat. Inisiatif ini mencerminkan komitmen YWM dalam memastikan manfaat wakaf dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

Majlis ini turut diadakan di Puteri Bay Hotel Melaka, sebuah hotel wakaf yang dibangunkan di atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Melaka dan diuruskan oleh YWM melalui anak syarikatnya Perbadanan Wakaf Nasional Berhad. Pembangunan ini menjadi contoh bagaimana aset wakaf dapat dimanfaatkan secara mampan untuk memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Melalui penganjuran program seperti ini, YWM berharap nilai ihsan, rahmah dan kebersamaan dapat terus disemai dalam masyarakat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI. YWM juga menyeru masyarakat untuk bersama-sama menghidupkan budaya wakaf dalam kehidupan seharian kerana setiap sumbangan, walau sekecil mana sekalipun, mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan ummah.


Kongsi Kongsi