Aktiviti
Kunjungan Hormat Ommri Berhad ke Yayasan Waqaf Malaysia
12-03-2026

Putrajaya, 12 Mac 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menerima kunjungan daripada barisan pengurusan Syarikat Ommri Berhad yang terdiri daripada Tuan Haji Mohd Izzairi Yamin, Ustaz Haji Ahmad Fazrin Yahya dan Tuan Ahmad Hussaini Zaini.

Kunjungan ini yang telah disambut oleh En Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bersama pegawai YWM. Kunjungan ini adalah bertujuan untuk membentangkan serta memperkenalkan aplikasi digital Al Afasy, sebuah platform berteraskan nilai dan perkhidmatan Islamik yang direka bagi memudahkan pelbagai urusan umat Islam melalui teknologi digital.

Dalam sesi pembentangan tersebut, wakil Ommri Berhad telah menerangkan beberapa kelebihan dan fungsi utama aplikasi Al Afasy, antaranya menyediakan kemudahan berkaitan ibadah seperti perkhidmatan badal umrah dan badal haji, yang bertujuan membantu umat Islam menunaikan ibadah bagi pihak individu yang tidak berkemampuan melaksanakannya sendiri. Selain itu, aplikasi ini juga bakal memperkenalkan ciri Infaq Sabil, yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat bagi memudahkan orang ramai menyumbang kepada inisiatif kebajikan dan pembangunan ummah secara lebih tersusun dan telus.

Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama strategik antara YWM dan Ommri Berhad dalam memperkasa penggunaan platform digital Islamik yang mampu menyokong agenda pembangunan ekonomi ummah serta memperluaskan akses kepada amalan kebajikan dan wakaf melalui teknologi kewangan moden.


Kongsi Kongsi