Wakaf Perkasa Pendidikan: Yayasan Waqaf Malaysia Salur Sumbangan Kepada Dua Sekolah di Selangor
09-03-2026Kuala Kubu Bharu, 9 Mac 2026 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus memperkukuh peranan wakaf dalam pembangunan pendidikan melalui penyaluran sumbangan kepada dua institusi pendidikan di Selangor menerusi program Ziarah Wakaf Prihatin.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing, Kuala Selangor, YWM telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM8,860.00 bagi tujuan menaik taraf bilik komputer sekolah tersebut. Sumbangan ini membantu pihak sekolah menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada para pelajar.
Menurut Guru Besar SK Bukit Belimbing, Puan Ani Rashidah binti Mohd Saleh, bersama Guru Penyelaras ICT sekolah, Puan Umi Nur Syamshila binti Nordin, dana yang diterima telah digunakan untuk menggantikan pendingin hawa baharu, menukar kompresor serta menjalankan kerja-kerja pendawaian semula di bilik komputer. Penambahbaikan tersebut memberi keselesaan kepada para pelajar untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan lebih baik. Sekolah yang mempunyai kurang daripada 300 orang pelajar itu amat menghargai sumbangan berkenaan kerana telah memberi manfaat besar kepada kemudahan pembelajaran warga sekolah.
Seterusnya, YWM ke Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Kuala Kubu Bharu untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000.00 bagi tujuan pembinaan tandas khas untuk murid Orang Kurang Upaya (OKU).
Pengetua SAMT Kuala Kubu Bharu, Encik Naziri bin Mad Isa, memaklumkan bahawa kemudahan tersebut amat diperlukan bagi membantu seorang pelajar OKU yang kehilangan kaki akibat kemalangan. Pelajar tersebut menggunakan kerusi roda dan menghadapi kesukaran menggunakan kemudahan tandas sedia ada yang memerlukan pergerakan menaiki serta menuruni tangga.
Pembinaan tandas khas itu dijangka dapat memberikan keselesaan serta memudahkan urusan harian pelajar berkenaan, di samping memastikan persekitaran sekolah yang lebih mesra OKU.
Simbolik penyerahan sumbangan bagi kedua-dua institusi pendidikan tersebut telah disampaikan oleh wakil YWM,iaitu, Puan Hanim Idzura binti Mohd Kalyubi, Pengurus Bahagian Pengurusan.
Inisiatif ini membuktikan bahawa dana wakaf bukan sahaja berperanan dalam kebajikan masyarakat, malah mampu menyokong pembangunan kemudahan pendidikan, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan kondusif kepada generasi masa hadapan.
TERKINI
Kongsi Kongsi