Aktiviti
Yayasan Waqaf Malaysia Sumbang Smart Board Wakaf Sokong Pelaksanaan Modul Mini Tahfiz Al-Falah
29-10-2025

Bangi, 29 Oktober 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menyumbangkan smart board wakaf bernilai RM12,000.00 kepada Yayasan Bangi Bandar Ilmu bagi tujuan pelaksanaan Modul Mini Tahfiz Al-Falah, yang diluncurkan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan Islam berteraskan al-Quran dan Sunnah, selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Al-Falah dan gagasan Malaysia MADANI.

Melalui pelaksanaan modul ini, para pelajar bukan sahaja dididik untuk menghafaz al-Quran, tetapi turut diberi penekanan terhadap aspek pemahaman, penghayatan dan pengamalan ayat-ayat suci dalam kehidupan seharian.

Sumbangan ini juga bakal memberi manfaat kepada hampir 260 pelajar di Kompleks Pendidikan Islam Bangi. YWM juga akan menaja para pelajar daripada keluarga B40 untuk mengikuti pembelajaran interaktif melalui platform digital iaitu Waqf Go Learning, sebagai langkah memperluas akses pendidikan berkualiti melalui instrumen wakaf kontemporari.

YWM akan terus kekal komited menjadikan wakaf sebagai instrumen kontemporari yang menghubungkan nilai keagamaan dengan kemajuan teknologi serta kesejahteraan masyarakat. Terima kasih kepada para pewakaf, sumbangan anda menjadi jambatan kepada kejayaan generasi masa depan Malaysia MADANI.


Kongsi Kongsi