Aktiviti
Kunjungan Hormat Daripada Kenchana Healthcare & Delegasi Hayat Hastanesi, Bursa Türkiye Ke Pejabat Yayasan Waqaf Malaysia
02-09-2025

Putrajaya, 2 September 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menerima kunjungan hormat daripada pihak Kenchana Healthcare yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Razif Abu Bakar serta delegasi daripada Hayat Hastanesi, Bursa Turkiye yang diketuai oleh Mrs. Betul Kabalar. Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang mendalam berhubung hasrat untuk jalinan kerjasama strategik bersama Hayat Hastanesi dalam merealisasikan penubuhan hospital wakaf di 14 buah negeri di seluruh Malaysia.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh jaringan kesihatan melalui instrumen wakaf, malah selari dengan aspirasi Wakaf Membangun Malaysia MADANI, iaitu usaha memperkasakan sektor sosial, ekonomi dan kesihatan masyarakat melalui pendekatan berteraskan nilai-nilai keadilan, kesejahteraan dan kebersamaan. Selain penubuhan hospital wakaf, perbincangan turut menekankan aspek kerjasama teknikal dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI), yang akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi serta pembangunan kepakaran tempatan. Dengan itu, hospital wakaf yang bakal diwujudkan bukan sahaja akan menjadi pusat rawatan kesihatan berlandaskan nilai kebajikan dan keinsanan, tetapi juga menjadi pusat inovasi yang mendorong Malaysia ke arah negara maju dalam bidang perubatan moden.

Kerjasama strategik ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan negara melalui instrumen wakaf, sekaligus memperkukuh pelaksanaan Malaysia MADANI yang menitikberatkan keseimbangan antara kemajuan teknologi, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.


Kongsi Kongsi