Majlis Peluncuran Platform Pembelajaran Digital: Waqf Go Learning
04-08-2025Kuala Lumpur, 4 Ogos 2025 - Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, keterangkuman dan kesejahteraan sosial, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama ITTV Education Sdn. Bhd. telah meluncurkan Waqf Go Learning, sebuah platform pembelajaran digital berasaskan wakaf yang pertama di Malaysia, bertempat di Ballroom Hotel Seri Pacific.
Platform ini dibangunkan khusus untuk memperluas akses pendidikan berkualiti kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, terutamanya dalam kalangan keluarga B40 dan golongan asnaf. Ia menawarkan lebih 3,000 video pembelajaran selaras dengan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia serta ciri-ciri tambahan seperti kuiz interaktif, forum tutor, papan pemuka pembelajaran (personal dashboard), sistem pemantauan ibu bapa, chatbot AI dan webinar langsung. Menariknya, 10% daripada kutipan langganan platform ini akan disalurkan semula kepada YWM sebagai dana wakaf, sekali gus menjadikan model ini lebih lestari dan berimpak jangka panjang.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM. Turut hadir bersama adalah Dato’ Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji merangkap Naib Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM, barisan Lembaga Pemegang Amanah YWM, Ketua-ketua Agensi Agama di Jabatan Perdana Menteri, para rakan strategik YWM serta wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
YWM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Boon Tan yang telah mewakafkan sepenuhnya platform pembelajaran digital berjenama Waqf Go Learning (golearning.ywm.gov.my) kepada YWM.
Pada masa hadapan, YWM juga merancang untuk memperluaskan capaian platform ini kepada pelajar tahfiz, OKU dan memperkenalkan modul TVET serta bimbingan kerjaya secara digital sebagai persediaan tenaga kerja masa depan. Sebagai permulaan 1,000 pelajar terawal ditawarkan akses percuma ke portal Waqf Go Learning bermula hari ini, terbuka kepada pelajar daripada Darjah 4 hingga Tingkatan 5. Orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini melalui portal rasmi YWM di www.ywm.gov.my serta saluran media sosial rasmi seperti Facebook dan Instagram rasmi Yayasan Waqaf Malaysia.
YWM juga turut menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, MAIN, GLC dan sektor korporat serta swasta untuk tampil sebagai rakan strategik Waqf Go Learning dan menaja pelajar asnaf dan B40 agar akses kepada pendidikan lebih menyeluruh tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.




TERKINI

Kongsi Kongsi