Aktiviti
Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025
29-06-2025

Kuantan, 29 Jun 2025 - Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota telah berlangsung jayanya sepanjang tiga hari penganjurannya iaitu bermula 27 hingga 29 Jun 2025 di Masjid Jamek Beserah dengan kehadiran pengunjung mencecah 6,000 orang. Karnival ini merupakan usaha kolaboratif melibatkan kerjasama strategik antara agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan dan Negeri yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Pahang. Ia bertujuan memperkukuh peranan institusi agama dalam menyantuni masyarakat serta memperkasakan nilai-nilai Islam dan MADANI dalam kehidupan seharian.

Pelbagai program yang diatur telah menarik kehadiran masyarakat setempat untuk memeriahkan karnival ini seperti Kuliah Zohor Perdana bersama Ustaz Abdul Somad, Indera Mahkota Berselawat bersama kumpulan Al-Maqari, Qiamullail & Subuh macam Jumaat bersama Imam Masjid Negara, Jualan Rahmah MADANI, Tukar Minyak Hitam Motor & Gunting Rambut Percuma, Cabutan Bertuah Pakej Umrah, rakaman Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang melibatkan ahli panel hebat seperti YH Dato’ Haji Badli Shah bin Alauddin dan Al-Fadil Ustaz Mohammad Wadi Annuar bin Ayub serta pelbagai program lagi. YB Senator Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyempurnakan Perasmian Penutupan Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota pada 29 Jun 2025.

Untuk program ini, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai Jawatankuasa Kebersihan, Pendaftaran dan Goodies dan turut membuka kaunter wakaf. Selain agensi agama, antara pempamer yang turut membuka reruai adalah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional serta jualan produk industri halal negeri Pahang.

Terima kasih rodong-rodong semua yang sudi singgoh reruai YWM sepanjang karnival ni. Ada rezeki kita jumpa lagi.

(Kredit Foto: JAKIM)


Kongsi Kongsi