Penglibatan Yayasan Waqaf Malaysia Dalam Persidangan Meja Bulat Perkasa Ekonomi Asnaf dan Kewangan Sosial Islam
26-10-2026Shah Alam, 26 Oktober 2026 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melahirkan setinggi-tinggi penghargaan di atas undangan ke Persidangan Meja Bulat: Modelling Sukuk As An Inclusive Financial Instrument For Alleviating Poverty In Malaysia yang telah berlangsung di Concorde Hotel Shah Alam, Selangor. Program anjuran Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka ini menjadi platform strategik bagi membincangkan pemantapan ekosistem kewangan sosial negara.
Pada persidangan tersebut, Pengurus Bahagian Dasar dan Pembangunan YWM, Puan Nur Syaffina binti Ab Rahim, telah menyampaikan pembentangan utama yang bertajuk "Memperkasa Asnaf ke Arah Kemandirian Ekonomi: Peranan YWM dalam Menghubungkan Zakat, Wakaf dan Peluang Sukuk Inklusif".
Sesi pembentangan ini secara khususnya mengupas peranan serta inisiatif YWM dalam mengintegrasikan instrumen zakat, wakaf, dan potensi sukuk inklusif bagi membasmi kemiskinan serta memacu kelestarian ekonomi golongan asnaf. Perkongsian ini turut menyokong objektif persidangan dalam mengenal pasti jurang operasi, memurnikan kerangka sukuk inklusif, serta membina jaringan kerjasama strategik antara pihak akademi, industri, dan agensi kerajaan demi pembangunan kewangan sosial Islam.
Semoga hasil resolusi dan perbincangan menerusi persidangan meja bulat ini dapat memberi impak positif yang berterusan serta memperkukuh dasar kewangan sosial Islam di Malaysia.
TERKINI
Kongsi Kongsi