Program MADANI Kita Bersama Komuniti Ledang
31-10-2026Tangkak, 31 Oktober 2026 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menyertai Program MADANI Kita Bersama Komuniti Ledang yang berlangsung di Dataran Serom 3, Sungai Mati, Tangkak, Johor.
Program yang diterajui oleh Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ini telah menghimpunkan kira-kira 23 agensi kerajaan dan organisasi yang terlibat dalam membuka reruai pameran serta menyediakan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti kepada masyarakat setempat.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh, Ahli Parlimen Ledang merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Penyertaan YWM dalam program ini merupakan salah satu usaha memperluas hebahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan serta potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi ummah. Menerusi reruai pameran yang dibuka, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan produk, inisiatif dan peranan YWM dalam memperkasa pembangunan wakaf di Malaysia.
Selain itu, YWM turut diberikan tanggungjawab sebagai AJK Pendaftaran dan Cenderamata (Goodies) bagi membantu kelancaran pengurusan program. Sebanyak 1,000 goodies telah diagihkan kepada para pengunjung sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan sambutan yang diberikan.
Penyertaan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara YWM dengan agensi kerajaan serta komuniti setempat, di samping memperluas capaian maklumat mengenai wakaf kepada masyarakat secara lebih dekat dan berkesan.
TERKINI
Kongsi Kongsi