Warga Yayasan Waqaf Malaysia Sertai Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M
27-06-2025Kuala Lumpur, 27 Jun 2025 - Telah berlangsung Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M dengan suasana penuh bermakna dan perpaduan di Malaysia International Trade Exhibition Centre (MITEC) pagi tadi. Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) turut hadir memberikan sokongan melalui kontinjen 40 orang yang diketuai oleh YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM. Pada kesempatan yang sama, YWM turut membuka kaunter wakaf bersama agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Acara ini bertambah istimewa dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta kehadiran YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Majlis dimulakan dengan Tausiah Khas Hijrah, disusuli ucapan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Kemuncak acara menyaksikan Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada dua tokoh unggul iaitu Dato’ Dr Nooh Gadot sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dari Arab Saudi sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa. Mengangkat tema “Membangun Ummah MADANI”, sambutan Maal Hijrah kali ini mengajak umat Islam memperkukuh jati diri, memelihara perpaduan, dan menghayati roh hijrah sebagai lambang kekuatan spiritual, pengorbanan serta transformasi ke arah kehidupan yang lebih bermakna. Tema ini turut menekankan kepentingan nilai kemanusiaan, keadilan dan tanggungjawab sosial dalam membentuk negara bangsa yang harmoni dan berintegriti, bebas daripada gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan keruntuhan moral.
YWM ingin jua merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pewakaf yang telah berwakaf sepanjang majlis ini. Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda dan berterusan kepada para pewakaf atas amal jariah yang dilakukan.








TERKINI

Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota 2025
29-06-2025Kongsi Kongsi