Aktiviti
Seminar Kesedaran Wakaf Bersama Warga Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) Serta Agensi Di Bawahnya
27-05-2025

Putrajaya, 27 Mei 2025 - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah berjaya melaksanakan Seminar Kesedaran Wakaf Bersama Warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan penglibatan kakitanganya dalam pembangunan wakaf sebagai instrumen ekonomi Islam yang berdaya saing.

Seminar ini turut menyaksikan pelaksanaan produk Tunai Wakaf Bank Rakyat – Yayasan Waqaf Malaysia, yang membolehkan individu mewakafkan wang tunai (ayn wakaf) untuk dilaburkan dalam instrumen perbankan patuh syariah. Hasil pelaburan tersebut digunakan bagi membiayai inisiatif pembangunan ummah. Inisiatif ini turut disokong dengan geran sepadan berjumlah RM1 juta daripada Bank Rakyat, di mana setiap ringgit yang diwakafkan oleh individu akan dipadankan dengan jumlah yang sama oleh Bank Rakyat.

Salah satu impak signifikan daripada produk ini ialah pengagihan dana wakaf sebanyak RM20,000 bagi tujuan pembangunan sistem solar PV di Masjid Teluk Intan, Perak – menyokong usaha ke arah Wakaf Masjid Hijau. Bank Rakyat melalui inisiatif Jariah Al-Barakah turut menyumbang tambahan RM30,000, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk projek berimpak tinggi ini.

Program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, turut hadir YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Al-Fadil Ustaz Mohd Zamerey bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat serta Al-Fadilah Ustazah Nor Asmahan binti Abdul Kadir, Penolong Pengarah Bahagian Wakaf JAWHAR.

Dalam program ini, YWM turut membawakan panel-panel yang berwibawa untuk mengupas topik berkaitan wakaf seperti berikut:

  1. Segmen DJ Tanya, Prof. Jawab: Tunai Wakaf vs Wakaf Tunai
  • Moderator: DJ Suffian Amrin
  • Panel: Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail, Ahli Jawatankuasa Shariah Bank Rakyat
  1. Segmen Sembang Santai Bersama Imam Muda: Wakaf, Kunci Pahala Selamanya..
  • Moderator: Ustazah Rohaizan Ismail, Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Integriti KUSKOP
  • Panel: Imam Muda Asyraf
  1. Segmen Taklimat Wakaf: Pengurusan Wakaf oleh YWM
  • Penceramah: Al-Fadil Ustaz Mohd Fazdli bin Rosli, Pengurus Bahagian Pengurusan Dana YWM

YWM mengalu-alukan sokongan berterusan daripada pihak kementerian, jabatan dan agensi awam dan swasta bagi memperkasakan wakaf merentasi lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama - demi pembangunan sosioekonomi yang mapan dan inklusif. Semoga program seumpama ini memberi manfaat kepada semua, Insya Allah.


Kongsi Kongsi