Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

Sebuah lagi hotel di bawah pengurusan YWM dikenali sebagai Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk) yang bertaraf tiga bintang di atas sekeping tanah wakaf yang dipegang oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di bawah nombor lot 2436, Hakmilik 44772, Mukim Bandar Taiping, Daerah Larut dan Matang, Perak.

10 Mei 2012 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1433, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan Kerja Raya (JKR)  berjaya menyiapkan sebuah lagi hotel wakaf di Taiping, Perak selepas Hotel Pantai Puteri (JAWHAR-MAIM) Tanjung Kling Melaka dan Klana Beach Resort (JAWHAR-MAINS) Port Dickson Negeri Sembilan. Bagi meraikan  kejayaan tersebut satu Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Hotel telah diadakan pada 10 Mei 2012 dan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Othman Mahmood Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri.

JAWHAR telah memperuntukkan sebanyak RM19 juta untuk membangunkan Hotel Wakaf Taiping di atas tanah milik MAIPk yang kini dikenali sebagai  Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk). Kerjasama ini merupakan perkongsian pintar (Smart Partnership) di bawah strategi Laut Biru (Blue Ocean Strategy) yang  telah membuahkan hasil dan ia sekaligus memberikan gambaran betapa Kerajaan begitu serius membangunkan tanah wakaf menerusi program transformasi pembangunan hartanah wakaf. 

Bangunan Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk)  ini terbahagi kepada 4 tingkat yang mempunyai 45 buah bilik terdiri bilik single, berkembar dan bilik famili berkonsepkan warisan, 1 Dewan Bankuet, 3 Bilik Seminar, 1 Kafeteria serta kemudahan-kemudahan pengurusan yang lain.  Selain dari tujuan penginapan, Dewan Bankuet  juga boleh digunakan untuk pelbagai majlis dan seminar oleh pihak Kerajaan mahu pun swasta. Hotel ini dijangka akan mula beroperasi mulai Jun 2012. Bandar Taiping merupakan bandar warisan negeri Perak yang mempunyai keunikan yang tersendiri dan berupaya menggamit para  pelancong dalam dan luar negara  menikmatinya.

 

 

Anda berada di: Halaman Utama Hotel Seri Warisan (JAWHAR - MAIPk)