Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

SOALAN-SOALAN LAZIM BERKAITAN YWM DAN WAKAF

 

Apakah pengertian wakaf?

a) Bahasa:

Berhenti, Menahan, Menghalang

 

b) Istilah / Syara’:

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebajikan dengan niat mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.

 

Apakah rukun wakaf?

Terbahagi kepada empat iaitu pewakaf (waqif), harta yang diwakafkan (mawquf), penerima wakaf (mawquf ‘alaih) dan penyataan wakaf (sighah).

 

Apakah jenis wakaf?

Terbahagi kepada dua kategori utama iaitu wakaf dzurri (keturunan) dan wakaf khairi (kebajikan), di mana pecahannya terbahagi kepada dua iaitu wakaf am dan wakaf khas.

 

Apakah yang mendorong penubuhan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM)?

Penubuhan YWM secara hakiki adalah berdasarkan keperluan kewujudan entiti wakaf bagi menguruskan hal ehwal wakaf di peringkat persekutuan. Idea ini dilontarkan pada 25 Mac 2006 di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan (JPBK) yang telah diadakan di Kuala Terengganu. Mantan YAB Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi telah bersetuju agar usaha dan idea ini dilaksanakan secepat mungkin bagi memantapkan lagi pengurusan wakaf di Malaysia.

Apakah faedah wakaf?

Wakaf adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah dan manfaat bukan saja kepada diri pewakaf, malah penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut mendapat kebaikannya. Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan selain ia meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat.

Apakah pandangan syariah tentang wakaf ?

Hukum wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha’. Wakaf adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu sedekah jariah, yang pahalanya besar daripada Allah SWT. Wakaf merupakan tuntutan al-Quran, Sunnah dan amalan para sahabat.

Falsafah wakaf:

a)     Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

b)    Untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

c)     Menghapuskan sifat bakhil.

d)    Mendapatkan harta berterusan.

e)     Memberi kebaikan kepada ummah.

f)     Pembangunan/kegunaan anak yatim, orang miskin dan sebagainya.

g)    Menjamin harta itu berkekalan dalam kebajikan.

Dari mana sumber dana diperolehi dan tempat dana disalurkan?

Sumber dana wakaf yang diperolehi adalah melalui kutipan Wakaf Tunai Malaysia (WTM), iaitu skim wakaf tunai yang dikelolakan sendiri oleh YWM. Selain itu, dana kerajaan juga digunakan bagi menguruskan pembangunan hartanah wakaf di Malaysia.

Adakah Wakaf Tunai mendapat potongan / rebat cukai dari LHDN?

Bermula tahun 2014 sehingga 2018, setiap sumbangan Wakaf Tunai Malaysia melalui Yayasan Waqaf Malaysia melayak pewakaf menerima pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(11c) Akta Cukai Pendapatan 1967

Apa pandangan ulama tentang Wakaf Tunai?

Hukum Wakaf Tunai adalah DIBOLEHKAN (harus).

(Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu - Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam).

Wakaf tunai untuk siapa?

Untuk memajukan sosio-ekonomi ummah amnya dan juga dapat mengeratkan ukwah wujudnya sifat berwakaf dan saling membantu sesama Islam.

Siapakah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM?

Seramai 19 orang tokoh terkemuka daripada pelbagai latarbelakang menganggotai LPA YWM dengan dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara  YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR) berperanan sebagai Naib Pengerusi. Selebihnya iaitu seramai 16 orang ahli yang lain terdiri daripada wakil setiap MAIN, wakil agensi kerajaan dan tokoh korporat.

Apakah tindakan YWM untuk memastikan ketelusan dalam pengurusannya?

YWM telah meyiapkan satu sistem kutipan dan agihan berkomputer yang boleh diakses terus oleh setiap pewakaf dengan menggunakan kemudahan internet (real time) melalui link www.ywm.gov.my. Selain itu YWM turut menerbitkan laporan-tahunan untuk melaporkan perkembangan aktiviti dan pencapaian oleh YWM dalam setahun.

Apakah langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil oleh YWM untuk mengelakkan berlakunya pecah amanah?

YWM mengamalkan Corporate Governance dan membentuk jawatankuasa audit dalaman yang akan mengekang salah laku. Di samping itu, YWM turut diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan setiap perbelanjaan dipantau sepenuhnya oleh LPA YWM.

Bolehkan pewakaf memilih dan menentukan niat wakaf tunai untuk sesuatu tujuan khusus?

Setakat ini, Wakaf Tunai Malaysia merupakan wakaf am, di mana pewakaf mewakafkan wang tunai dan YWM menentukan agihan.

Sebagai sebuah institusi Islam, adakah YWM tertakluk kepada badan pengawasan syariah?

Sudah semestinya. YWM mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah yang akan memantau segala aktiviti dan perjalanan YWM agar selaras dengan kehendak Syariah.

Apakah kriteria yang diperlukan bagi penerima dana wakaf?

YWM menggunapakai rukun wakaf iaitu mawquf ‘alaih (penerima wakaf). Penerima wakaf (mawquf ‘alaih) dalam konsep pengurusan YWM adalah ummah, di mana ummah atau masyarakat (sama ada Muslim atau bukan Muslim) akan menerima segala manfaat daripada projek dan aktiviti-aktiviti YWM. Walaubagaimanapun, YWM tetap mengutamakan mawquf ‘alaih yang lebih memerlukan di antaranya golongan asnaf.

Selain untuk pembangunan projek-projek wakaf baru, apakah projek lain yang diusahakan dari dana yang terkumpul?

YWM memberi fokus utama kepada 5 teras utama di dalam menguruskan hartanah wakaf iaitu:

 

a)           Keagamaan

b)          Kesihatan

c)           Pendidikan

d)          Perlindungan

e)           Penjagaan Makanan

 

Justeru, segala projek yang akan dijalankan oleh YWM akan bersandarkan kepada lima teras seperti yang telah disebutkan.

 

Institusi wakaf dilihat mampu untuk membangunkan sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia. Jadi, apakah perancangan masa depan YWM untuk memperkasakan lagi institusi ini?

Selain daripada memberi penekanan dan fokus utama kepada pembangunan projek wakaf, YWM akan memberi penumpuan kepada kesedaran masyarakat mengenai hikmah berwakaf. Kesedaran ini adalah amat penting bagi merealisasikan wakaf sebagai pemacu sosio-ekonomi Ummah, kerana tanpa kesedaran segala usaha memartabatkan wakaf tidak akan bermakna.

 

 

Anda berada di: Halaman Utama Soalan Lazim