Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

KUALA TERENGGANU, 25 Januari 2015 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan University College Bestari (UCB) telah menganjurkan Forum Pengurusan Kekayaan Islam bertemakan "Wakaf Sebagai Instrumen Pemerkasaan Ekonomi Ummah" di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.

Majlis perasmian forum ini telah disempurnakan oleh YM. Prof. Dato’ Dr. Tengku Mahmud bin Mansor, Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengelola UCB merangkap Pengerusi PEYATIM, Malaysia. Menerusi majlis ini, beliau turut merasmikan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan yang ditawarkan oleh UCB.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan forum yang dipengerusikan oleh YBhg Prof. Madya Ahmad Suhaily bin Mohd Salleh, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UCB dengan dua panelis iaitu YBhg. Dato’ Prof. Dr. Sudin Haron, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan YBhg. Dr. Aznan bin Hasan, Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Ahli Jawatankuasa Pelaburan dan Kewangan YWM.

 

Program yang dihadiri seramai 350 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, agensi swasta dan lain-lain. Diakhiri dengan ucapan penutup oleh YB. Dato’ Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM. Majlis tamat pada pukul 1.30 petang.

  

Kuala Terengganu, Terengganu 24 Januari 2015 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan GIATMARA hari ini menganjurkan Majlis Graduasi Kali Kedua, Akademi Kulinari Terengganu (AKT) bertempat di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.

 Majlis ini bertujuan untuk memberi hebahan kepada agensi-agensi Kerajaan, swasta, masyarakat setempat dan seluruh negara mengenai program pembangunan wakaf yang dilaksanakan oleh YWM dan MAIDAM iaitu penubuhan Akademi Kulinari Terengganu yang menawarkan kursus kemahiran dalam bidang Confectionary & Bakery selama 6 bulan beserta asrama kepada anak-anak asnaf negeri Terengganu.

 Seramai 39 orang graduan akan dikurniakan Sijil Profesional GIATMARA pada hari ini. Selanjutnya graduan-graduan ini akan menjalani latihan industri atau latihan inkubator selama 3 bulan dan seterusnya para graduan boleh memilih laluan kerjaya sama ada menjadi usahawan, bekerja di organisasi berkaitan pembuatan kek dan pastri atau menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang ini.

Sebagai komitmen berterusan di atas keperluan dan permintaan masyarakat, AKT akan melaksanakan penambahan pengambilan pelatih daripada 40 orang kepada 80 orang bagi sesi yang akan datang. Selaras dengan  itu, pengambilan pelatih akan dibuka kepada Majlis-majlis Agama Islam Negeri lain untuk turut sama menghantar pelatih melalui dana zakat negeri masing-masing. Ini akan direalisasikan menerusi kerjasama antara YWM dan MAIDAM dengan cadangan pembangunan kompleks asrama pelatih yang lebih selesa untuk pelatih di atas tanah MAIDAM bersebelahan akademi ini.

 Selain daripada itu, sebagai langkah kehadapan untuk meningkatkan imej dan memperkenalkan produk keluaran AKT, sebuah kafe juga sedang dibangunkan bersebelahan dengan bangunan akademi melalui peruntukan Bajet 2013 YWM berjumlah RM400 ribu.

 

21 Disember 2014 :Satu majlispenyerahan projek Bazar Wakaf Rakyat Yayasan Waqaf  Malaysia (YWM) di negeri Kedah melalui peruntukan tahun 2013 YWM telah diadakan di Masjid Ar Rahman, Kg. Gelam, Mukim Kedawang, Pulau Langkawi, Kedah. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada wakil Pengarah Kerja Raya Negeri Kedah, YBrsh. Puan Hajjah Faizah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah (Arkitek), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah. Seterusnya ucapan daripada wakil Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), YBrsh.Tuan Syeikh Ahmad Zaki bin Ghazali, Ketua Bahagian Wakaf MAIK. Manakala ucapan daripada YWM telah disampaikan olehYBhg. Dato’ Prof. Dr. Sudin Haron, selaku Ketua Pegawai Eksekutif. Dalam ucapannya, YWM merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek terutamanya pihak MAIK dan JKR serta kontraktor sehingga berjaya menyiapkan tiga (3) projek Bazar Wakaf Rakyat YWM  mengikut jadual iaitu di Masjid Muadzam Shah, Kuala Nerang, Masjid Ar Rahman, Kg Gelam, Langkawi dan Masjid Taman Intan, Sungai Petani. Dengan siapnya projek kecil berbentuk ekonomi ini akan membantu usahawan muslim dalam penyediaan premis perniagaan. Ianya juga akan menjana pulangan secara berterusan kepada dana wakaf bagi meneruskan kesinambungan pembangunan harta wakaf yang lain. Selain daripada itu, YWM juga komited untuk terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi meningkatkan dan mengembangkan potensi wakaf demi pembangunan ekonomi yang merupakan tonggak kekuatan ummah terutama umat Islam di Malaysia. Acara kemuncak adalah menandatangani dokumen penyerahan projek antara JKR dan YWM dan seterusnya penyerahan replica kunci projek daripada pihak JKR kepada YWM. YWM seterusnya menyerahkan kunci projek kepada pihak MAIK untuk pengurusan dan pengoperasian Bazar Wakaf Rakyat tersebut. 

    

Hubungan baik antara Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dieratkan lagi dengan kerjasama penganjuran Program Pelancaran dan Seminar Pembudayaan Wakaf Peringkat Negeri Johor pada 18 November 2014 bertempat di Dewan Pusat Perlindungan Wanita, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Taman Perling, Johor Bahru.

Majlis yang julung kali diadakan di negeri Johor ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada agensi jemputan dan orang awam di sekitar Johor Bahru. Majlis bermula seawal jam 9.00 pagi dengan forum pertama bertajuk Peranan Kerajaan Pusat dan Negeri dalam Pengurusan dan Pembangunan Hartanah Wakaf. Panel forum ini adalah YBhg. Datuk Haji Anan Bin C Mohd, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) serta YBrsh. Ustaz Haji Mustafa Bin Omar, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAIJ.

Majlis diteruskan dengan sesi Ucaptama daripada YBhg. Dato’ Prof. Dr. Haji Sudin Bin Haron, Ketua Pegawai Esksekutif YWM dengan tajuk “Pengurusan Kekayaan Islam : Mekanisme Baharu Pembentukan Ketamadunan Ummah”.

Majlis Perasmian diadakan tepat jam 12.15 tengahari oleh Setiausaha MAIJ, YBhrs. Tuan Haji Mohd Noh Bin Ibrahim. Majlis kemudiannya berehat sehingga jam 2.30 petang untuk makan tengahari dan solat Zohor. Majlis bersambung dengan sesi kedua forum yang bertajuk Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ummah.  Ahli panel untuk forum kedua ini adalah YBhg. Dato’ Prof. Dr. Haji Sudin bin Haron, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dan Sohibus Samahah Tuan Haji Yahya bin Ahmad, Timbalan Mufti Johor.

 

Majlis bersurai pada jam 5.00 petang.

            

 

30 Oktober 2014 : Satu majlis bacaan Yasin, tahlil dan solat hajat telah diadakan di Masjid An Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur sempena pembukaan Wakaf Mart oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB), anak syarikat milik penuh YWM. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan Tahlil, solat hajat  yang dipimpin oleh Imam 1 Masjid An-Najihin dan ucapan aluan daripada YBhg. Datuk Haji Anan bin C. Mohd, Ketua Pengarah JAWHAR merangkap Naib Pengerusi YWM. Turut hadir dalam masjlid tersebut ialah YBhg. Dato’ Prof. Dr. Haji Sudin bin Haron, Pengerusi PWNB merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM dan YBrsh. Encik Che Husain bin Isa, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Wakaf Mart dibangunkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui peruntukan pembangunan Bajet 2010 YWM. Wakaf Mart adalah kedai serbaneka berkonsepkan kedai harga patut yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian yang halal, berkat dan menjimatkan kepada penduduk setempat serta seluruh masyarakat. YWM dan PWNB merakamkan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut terutama kepada Tuan Imam dan Ahli Jawatankuasa masjid serta ahli kariah masjid An Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Anda berada di: Halaman Utama Arkib Buletin