Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

12 Jun 2015, Jumaat: Satu majlis penyerahan kunci 2 projek Bazar Wakaf Rakyat Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Pulau Pinang telah diadakan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah Bandar Perda Pulau Pinang. Majlis telah dihadiri oleh YBrsh. Encik Abdul Halim Mat Yusop dan Puan Maya Idura Sabar, Pengurus dan Eksekutif Bahagian Projek dan Pembangunan Perniagaan YWM. Pihak JKR Pulau Pinang selaku pelaksana projek telah diwakili oleh Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah dan Jurutera Daerah Seberang Perai Utara manakala YBrsh. Tuan Haji Fakhruddin bin Abd Rahman, Ketua Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mewakili Yang Dipertua MAINPP.

Pelaksanaan projek ini merupakan kerjasama tiga (3) agensi iaitu YWM, MAINPP dan JKR. Sekalung tahniah diucapkan kepada kontraktor yang terlibat menyiapkan projek Bazar Wakaf Rakyat YWM di Masjid Daerah Seberang Perai Utara Teluk Air Tawar dan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah Bandar Perda Pulau Pinang ini. Projek kecil berbentuk ekonomi ini diharapkan akan dapat membantu usahawan muslim dalam konteks penyediaan premis perniagaan mampu sewa. Ianya juga dijangka akan menjana pulangan secara berterusan kepada dana wakaf bagi meneruskan kesinambungan pembangunan harta wakaf yang lain.

 

Selain daripada itu, YWM juga komited memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi meningkatkan dan mengembangkan potensi wakaf demi pembangunan ekonomi yang merupakan tonggak kekuatan ummah terutama umat Islam di Malaysia. Acara kemuncak adalah menandatangani dokumen penyerahan projek antara JKR dan YWM dan seterusnya penyerahan replika kunci bangunan daripada pihak kontraktor kepada JKR yang seterusnya menyerahkan kepada YWM. YWM seterusnya menyerahkan kunci projek kepada pihak MAINPP untuk pengurusan dan pengoperasian Bazar Wakaf Rakyat di ke dua-dua lokasi  tersebut. 

  

Satu majlis penyerahan projek Wakaf Mart Yayasan Waqaf  Malaysia (YWM) di Negeri Sembilan melalui peruntukan tahun 2013 telah diadakan pada 3 Jun 2015 di Masjid At-Taqwa Kampong Paroi  Mukim Ampangan Daerah Seremban Negeri Sembilan. Majlis telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Prof Dr Sudin Haron Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Encik Abdul Halim Mat Yusop Pengurus Bahagian Projek dan Pembangunan Perniagaan dan Puan Maya Idura Sabar selaku Eksekutif Bahagian Projek dan Pembangunan Perniagaan . Manakala pihak JKR selaku pelaksana projek telah diwakili oleh Jurutera Daerah Seremban dan Ketua Penolong Pengarah (Arkitek) JKR Negeri Sembilan manakala YBrsh. Encik Azrul bin Kamarudin , Pengurus MAINS Holding Sdn Bhd mewakili Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Pelaksanaan projek ini adalah merupakan kerjasama tiga (3) agensi iaitu YWM, MAINS dan JKR. Sekalung tahniah diucapkan kepada kontraktor yang terlibat menyiapkan projek Wakaf Mart YWM  di Masjid At Taqwa,Kampung Paroi, Mukim Ampangan Daerah Negeri Sembilan ini. Dengan siapnya projek kecil berbentuk ekonomi ini akan membantu usahawan muslim dalam penyediaan premis perniagaan. Ianya juga akan menjana pulangan secara berterusan kepada dana wakaf bagi meneruskan kesinambungan pembangunan harta wakaf yang lain. Selain daripada itu, YWM juga komited memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi meningkatkan dan mengembangkan potensi wakaf demi pembangunan ekonomi yang merupakan tonggak kekuatan ummah terutama umat Islam di Malaysia. Acara kemuncak adalah menandatangani dokumen penyerahan projek antara JKR dan YWM dan seterusnya penyerahan replika kunci bangunan daripada pihak kontraktor kepada JKR yang seterusnya menyerahkan kepada YWM. YWM seterusnya menyerahkan kunci projek kepada pihak MAINS untuk pengurusan dan pengoperasian Wakaf Mart tersebut. 

  

KUALA KUBU BHARU, 26 Mei 2015 – Sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan program Wakaf Prihatin, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Mesra kepada Masyarakat Orang Asli Gerachi Jaya di perkampungan Orang Asli Gerachi Jaya, Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan.

 

Majlis penyampaian sumbangan mesra ini telah disempurnakan oleh Puan Hamidah binti Osman, Ketua Pemasaran Konsumer, Kumpulan Perbankan Islam, CIMB Islamic Bank Berhad kepada 62 buah keluarga masyarakat Orang Asli Gerachi Jaya yang diketuai oleh Tok Batin Ramsit bin Anggong@ Abdullah.

Turut hadir bersama program ini iaitu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Encik Suhaimi Mahmud, wakil Majlis Agama Islam Selangor dan juga Perbadanan Wakaf Selangor.

Infranstruktur yang disediakan oleh pihak JAKOA di perkampungan Orang Asli Gerachi Jaya ini dilihat agak moden dengan terdapat kemudahan seperti tadika, surau, dewan dan padang permainan untuk anak-anak Orang Asli di sini. Kebanyakan penduduk orang asli di sini menjalankan aktiviti seperti peladangan kelapa sawit dan mencari hasil hutan.

 

Dengan penganjuran majlis penyampaian sumbangan mesra seperti ini kepada masyarakat Orang Asli Gerachi Jaya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan penduduk di sini. Majlis ini diakhiri dengan acara menyumpit dan jamuan makan tengahari bersama masyarakat Orang Asli di sini.

 

  

LEDANG - Pada 17 Mei 2015, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Mesra kepada Masyarakat Orang Asli Air Tawas di perkampungan Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang, Johor Darul Takzim di bawah Program Wakaf Prihatin anjuran YWM.

Majlis penyampaian sumbangan mesra ini merupakan julung kali diadakan oleh YWM di mana YBhg. Dato’ Prof. Dr. Sudin Haron, Ketua Pegawai Eksekutif YWM telah menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan kering seperti beras, minyak masak, gula dan barang makanan asas yang lain kepada 28 buah keluarga masyarakat Orang Asli Air Tawas.

Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan strategik YWM di bawah program Wakaf Prihatin iaitu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Encik Suhaimi Mahmud, Pengurus Kawasan CIMB Islamic Bank Berhad, Puan Rabiah Mohd Tahir dan En Mustaphayudin bin Abd. Khalim daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).

 

Program ini merupakan pertama kali dianjurkan oleh YWM dengan melibatkan kerjasama daripada pihak CIMB Islamic Bank Berhad sebagai penaja program yang akan membolehkan program ini bergerak lebih jauh mencapai matlamatnya. Program ini juga merupakan satu titik permulaan bagi mempelbagaikan produk-produk wakaf di mana program seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan dengan memberi makanan kepada golongan gelandangan di kawasan-kawasan Bandar pada masa akan datang.

 

  

 

Pada 11 April 2015 telah berlangsungnya bengkel pemurnian penerbitan buku “7 Pintu Asas Kefahaman Wakaf” di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu. Bengkel tersebut  telah di hadiri oleh YBhg  Dato’ Prof. Sudin Haron selaku Ketua Pegawai Eksekutif YWM, En. Abdul Halim, Cik Hadiatul Azia, En.Mohd Asyran selaku panel pada bengkel tersebut dan seramai  23 orang peserta dari pelbagai agensi yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan. Antaranya adalah dari Akademi Kulinari Terengganu, Kolej Teknologi Bestari, Universiti Sultan Zainal Abidin, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, Masjid Abidin,Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan, Uda Land dan Giat Mara Marang. Pelbagai idea, cadangan dan komen yang telah diberikan oleh para peserta untuk menambah baik isi kandungan buku tersebut. 

  

Anda berada di: Halaman Utama Arkib Buletin