Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

Kuala Terengganu, Terengganu 24 Januari 2015 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan GIATMARA hari ini menganjurkan Majlis Graduasi Kali Kedua, Akademi Kulinari Terengganu (AKT) bertempat di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.

 Majlis ini bertujuan untuk memberi hebahan kepada agensi-agensi Kerajaan, swasta, masyarakat setempat dan seluruh negara mengenai program pembangunan wakaf yang dilaksanakan oleh YWM dan MAIDAM iaitu penubuhan Akademi Kulinari Terengganu yang menawarkan kursus kemahiran dalam bidang Confectionary & Bakery selama 6 bulan beserta asrama kepada anak-anak asnaf negeri Terengganu.

 Seramai 39 orang graduan akan dikurniakan Sijil Profesional GIATMARA pada hari ini. Selanjutnya graduan-graduan ini akan menjalani latihan industri atau latihan inkubator selama 3 bulan dan seterusnya para graduan boleh memilih laluan kerjaya sama ada menjadi usahawan, bekerja di organisasi berkaitan pembuatan kek dan pastri atau menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang ini.

Sebagai komitmen berterusan di atas keperluan dan permintaan masyarakat, AKT akan melaksanakan penambahan pengambilan pelatih daripada 40 orang kepada 80 orang bagi sesi yang akan datang. Selaras dengan  itu, pengambilan pelatih akan dibuka kepada Majlis-majlis Agama Islam Negeri lain untuk turut sama menghantar pelatih melalui dana zakat negeri masing-masing. Ini akan direalisasikan menerusi kerjasama antara YWM dan MAIDAM dengan cadangan pembangunan kompleks asrama pelatih yang lebih selesa untuk pelatih di atas tanah MAIDAM bersebelahan akademi ini.

 Selain daripada itu, sebagai langkah kehadapan untuk meningkatkan imej dan memperkenalkan produk keluaran AKT, sebuah kafe juga sedang dibangunkan bersebelahan dengan bangunan akademi melalui peruntukan Bajet 2013 YWM berjumlah RM400 ribu.

 

Anda berada di: Halaman Utama Arkib Buletin MAJLIS GRADUASI KALI KEDUA AKADEMI KULINARI TERENGGANU