Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

21 Disember 2014 :Satu majlispenyerahan projek Bazar Wakaf Rakyat Yayasan Waqaf  Malaysia (YWM) di negeri Kedah melalui peruntukan tahun 2013 YWM telah diadakan di Masjid Ar Rahman, Kg. Gelam, Mukim Kedawang, Pulau Langkawi, Kedah. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada wakil Pengarah Kerja Raya Negeri Kedah, YBrsh. Puan Hajjah Faizah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah (Arkitek), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah. Seterusnya ucapan daripada wakil Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), YBrsh.Tuan Syeikh Ahmad Zaki bin Ghazali, Ketua Bahagian Wakaf MAIK. Manakala ucapan daripada YWM telah disampaikan olehYBhg. Dato’ Prof. Dr. Sudin Haron, selaku Ketua Pegawai Eksekutif. Dalam ucapannya, YWM merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek terutamanya pihak MAIK dan JKR serta kontraktor sehingga berjaya menyiapkan tiga (3) projek Bazar Wakaf Rakyat YWM  mengikut jadual iaitu di Masjid Muadzam Shah, Kuala Nerang, Masjid Ar Rahman, Kg Gelam, Langkawi dan Masjid Taman Intan, Sungai Petani. Dengan siapnya projek kecil berbentuk ekonomi ini akan membantu usahawan muslim dalam penyediaan premis perniagaan. Ianya juga akan menjana pulangan secara berterusan kepada dana wakaf bagi meneruskan kesinambungan pembangunan harta wakaf yang lain. Selain daripada itu, YWM juga komited untuk terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi meningkatkan dan mengembangkan potensi wakaf demi pembangunan ekonomi yang merupakan tonggak kekuatan ummah terutama umat Islam di Malaysia. Acara kemuncak adalah menandatangani dokumen penyerahan projek antara JKR dan YWM dan seterusnya penyerahan replica kunci projek daripada pihak JKR kepada YWM. YWM seterusnya menyerahkan kunci projek kepada pihak MAIK untuk pengurusan dan pengoperasian Bazar Wakaf Rakyat tersebut. 

    

Anda berada di: Halaman Utama Arkib Buletin MAJLIS PENYERAHAN PROJEK BAZAR WAKAF RAKYAT YAYASAN WAQAF MALAYSIA DI NEGERI KEDAH