Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

 

9 Julai 2020 - YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia bersama delegasi yang disertai oleh Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Pengarah JAWHAR merangkap Naib Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia, Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP dan Encik Hairol Anuar Muhammad, Ketua Bahagian Wakaf JAWHAR telah mengadakan lawatan kerja dan pada masa yang sama turut menyampaikan sumbangan wakaf berbentuk keperluan kelengkapan hospital dalam membantu menangani krisis wabak Covid19.

 

Sumbangan berbentuk keperluan hospital seperti katil beserta tilam hospital, tilam tambahan, loker berkunci dan magnetic white board adalah bernilai RM275,200.00 adalah menggunakan dana wakaf tunai. Manakala bagi pemberian sumbangan barangan seperti mesin pencetak, bantal dan cerek elektrik bernilai RM24,880.00 menggunakan dana manfaat wakaf YWM.

 

Sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif Program Musaadah Covid19 yang telah dilancarkan oleh YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) pada 19 Mac yang lalu. Sebagai simbolik kepada majlis penyampaian sumbangan ini, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia telah menyerahkan sumbangan mock cheque beserta Garis Panduan Umum Pengurusan Aset Wakaf kepada YBrsh. Dr. Kuldip Kaur A/P Prem Singh, Pengarah Hospital Sungai Buloh.

 

YB Menteri di JPM juga turut melawat ke lokasi penempatan peralatan sumbangan yang digunakan oleh pesakit Covid19 di Communal Home, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN). Semoga sumbangan ini menjadi titik permulaan bagi semua lapisan masyarakat untuk turut bersama-sama merancakkan lagi amalan berwakaf di Malaysia tidak kira sama ada di YWM atau di Majlis Agama Islam Negeri. Semoga dengan usaha ini kita dapat membantu lebih ramai pihak dalam semua aspek kehidupan.

 

Di kesempatan ini juga, YWM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Hospital Sungai Buloh atas kerjasama yang utuh dalam menjayakan program ini. Semoga kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat terus utuh seterusnya bakal membuahkan hasil yang positif demi kemaslahatan ummah.

 

 

 

Anda berada di: Halaman Utama Arkib Buletin WAKAF ANDA, KAMI AGIH : KEPERLUAN HOSPITAL BERNILAI RM300,080.00 DARIPADA YWM KEPADA HOSPITAL SG. BULOH, SELANGOR