Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

Kuala Terengganu, Terengganu, 28 Februari 2016 – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Giatmara Malaysia (GIATMARA) hari ini menganjurkan Majlis Graduasi Akademi Kulinari Terengganu (AKT) Kali Ke-3 bertempat di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu. 

AKT merupakan sebuah pusat latihan kemahiran dalam bidang kemahiran Confectionary & Bakery yang dibangunkan oleh YWM melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2011 di atas tanah milik MAIDAM seluas lebih kurang 5 ekar di Pulau Kerengga, Marang, Terengganu. YWM bersama pihak MAIDAM telah bekerjasama dengan pihak GIATMARA yang menyediakan tenaga pengajar, silibus latihan, persijilan dan juga elaun latihan bulanan kepada pelatih dari kalangan anak-anak golongan asnaf dari seluruh negeri Terengganu.

   

Seramai 76 orang pelatih wanita bagi sesi ke-4 dan ke-5 tahun 2015 menerima Sijil Tamat Latihan di dalam majlis yang disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Zubir bin Embong, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu. Seramai 8 orang pelatih iaitu 4 orang daripada setiap sesi turut menerima Anugerah Khas AKT iaitu Anugerah Kecemerlangan, Anugerah Kreatif, Anugerah Kepimpinan dan Anugerah Keusahawanan.

Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Sudin Haron, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, YBhg. Tan Sri Dato’ Hashim bin Meon, Pengerusi Perbadanan Wakaf Nasional Berhad (PWNB), YBhg. Datuk Mohd Rosdi bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA dan YBrsh. Encik Musadad  bin Haji Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

  

YB Dato’ Mohd Zubir bin Embong di dalam ucapannya bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua terutamanya kepada pihak MAIDAM, JAWHAR, YWM dan GIATMARA yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam menjayakan program pembangunan modal insan melalui AKT ini.

 

 

Anda berada di: Halaman Utama Arkib Buletin MAJLIS GRADUASI AKADEMI KULINARI TERENGGANU KALI KE-3