Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Mei - Amalan wakaf tunai dilihat sebagai satu alternatif yang berupaya meningkatkan pemilikan dan menjaga aset-aset bernilai tinggi untuk kepentingan umat Islam di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Datuk Anan C. Mohd. berkata, melalui pengumpulan wa­kaf secara tunai, pihak berwajib boleh menggunakannya untuk pembelian aset kekal seperti hartanah dan seterusnya dibangunkan menjadi prasarana seperti kediaman mahupun ruang niaga khususnya untuk kegunaan perusahaan-perusahaan kecil bumiputera.

Katanya, harga hartanah ketika ini terlalu mahal mampu menyebabkan umat Islam tersisih di dalam arus pembangunan moden dan kesukaran memiliki harta, justeru kaedah secara wakaf tunai boleh dijadikan satu cara untuk menyelesaikan masalah itu.

?Wakaf secara tunai yang terkumpul ini membolehkan YWM, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan majlis agama Islam pelbagai negeri membangunkan projek-projek berimpak besar. Projek itu sama ada memberi kemudahan kepada orang ramai, menjana pendanaan semua serta pemilikan aset oleh orang Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

YWM merupakan unit di bawah Jawhar, Jabatan Perdana Menteri, yang ditubuhkan bagi mempromosi aktiviti wakaf di negara ini.

Anan berkata, kaedah wakaf tunai masih lagi baru dan kurang disedari oleh orang ramai, dan sebenarnya lebih memudahkan semua orang untuk berwakaf berbanding wakaf harta, yang mana tidak semua orang memiliki harta seperti hartanah.

?Kini pelbagai kemudahan telah diwujudkan bagi membolehkan orang ramai berwakaf seperti potongan gaji, mesin deposit tunai pelbagai perbankan atau menerusi kaunter Wakaf Tunai Malaysia di Pejabat YWM. Mereka boleh berwakaf serendah RM1," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, kaedah berwakaf secara tunai kurang meluas dengan ketika ini hanya 3,000 pewakaf persendirian yang direkodkan manakala yang terdiri daripada sektor korporat masih kurang mendapat sambutan.

?Kaedah wakaf secara tunai mampu menyediakan dana bagi membeli atau membangunkan aset-aset di kawasan-kawasan tumpuan. Misalnya, dana yang diperolehi itu boleh diguna bagi mengambil alih syarikat-syarikat perniagaan bagi menjaga kepentingan orang ramai," kata Anan lagi.

Beliau mengambil contoh, kaedah wakaf berjaya menempatkan Menara Bank Islam yang terletak di Jalan Perak, iaitu aset yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur berhampiran Menara KLCC.

Dengan kos pembinaan sebanyak RM151 juta, Menara Bank Islam didirikan di atas tanah wakaf seluas 0.48 hektar milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (LTH). Bank Islam Malaysia Bhd. adalah penyewa utama bangunan setinggi 34 tingkat itu.

 



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140512/ek_02/Wakaf-tunai-menjana-pemilikan-aset-umat-Islam#ixzz31Sk0q4xP 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anda berada di: Halaman Utama Test Akhbar WAKAF TUNAI MENJANA PEMILIKAN ASET UMAT ISLAM