Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

MARANG: Kerajaan Pusat melalui Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) akan memperluas secara berperingkat projek pembangunan pusat latihan kemahiran untuk remaja dari kalangan anak keluarga asnaf di seluruh Negara

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’  Seri Jamil Khir Baharom berkata pusat latihan itu, seperti Akademi Kulinari Terengganu di sini, membuktikan kemampuan untuk mengeluarkan pelatih daripada kemiskinan. "Pembangunan akademi ini adalah kerjasama pintar institusi wakaf dan zakat dengan latihan untuk anak asnaf yang layak dibiayai dana zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) manakala Giatmara menyedia tenaga pengajar, modul, persijilan dan elaun bulanan. 

"Selepas tamat kursus, ada di antara mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan dengan berniaga dari rumah dan ia diharap mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis graduasi pertama Akademi Kulinari Terengganu di sini, hari ini.
 

Seramai 76 pelatih sesi pertama dan kedua menamatkan latihan enam bulan dalam bidang pembuatan roti di akademi itu.
 
Akademi itu, yang dibina di atas tanah wakaf milik MAIDAM, dibiayai sepenuhnya oleh YWM dengan kos RM2.5 juta dan siap pada 30 Julai 2012 manakala operasinya dimulakan pada 2 Sep 2012.
 

Jamil Khir berkata, secara keseluruhannya, JAWHAR dan YWM memperuntuk RM53.4 juta kepada Maidam untuk pembangunan hartanah wakaf di Terengganu termasuk hotel, kompleks asrama pelajar wakaf Wan Mahmood di Besut, Bazar Wakaf Rakyat di Jerteh dan akademi itu.
 

- BERNAMA

 

Sumber dari Berita Harian

Anda berada di: Halaman Utama Test Akhbar PUSAT LATIHAN KEMAHIRAN ANAK ASNAF DIPERLUAS SECARA BERPERINGKAT