Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Syarikat-syarikat serta ahli-ahli korporat diseru bekerjasama membangunkan Institusi Wakaf Korporat bagi meningkatkan status ekonomi dan sosial masyarakat Islam di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zainal Abidin Jaffar berkata, kerjasama tersebut antara lain sebagai usaha menjadikan Institusi Wakaf Korporat sebuah institusi terulung dan platform pembangunan wakaf yang menjamin pemilikan ekuiti Muslim di Malaysia.

''Banyak tanah wakaf yang masih belum dimajukan kerana kita kekurangan dana dan hal demikian menyebabkan pelaksanaan untuk membangunkannya menjadi perlahan.

''Jadi dengan penyertaan lebih banyak syarikat atau ahli korporat, kita mengharapkan tanah-tanah tersebut dapat dibangunkan dengan lebih agresif seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam di seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Luncheon Talk Wakaf Korporat anjuran MAIWP baru-baru ini.

Dalam majlis ringkas yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli korporat yang mewakili lebih 200 syarikat itu, dua kertas kerja bertajuk Pengurusan Wakaf dan Wakaf Korporat Masa Kini masing-masing telah dibentangkan oleh Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Aziz Mohamad dan Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Siti Mashitah Mahamood.

Menurut Zainal Abidin, MAIWP kini memfokuskan untuk mendirikan lebih banyak institusi pendidikan dan pusat-pusat kesihatan di atas tanah wakaf yang masih belum dibangunkan.

''Jika kita lihat di luar, banyak institusi pendidikan yang telah berkembang pesat berasaskan daripada harta wakaf seperti Universiti Cordova di Andalusia, al-Azhar as-Syarif di Mesir, Universiti Islam Madinah dan sebagainya.

''Setakat ini, MAIWP telah mempunyai Pusat Pengajian Warga Emas dan Masjid al-Hidayah yang masing-masing dibangunkan di atas tanah wakaf di Kampung Sungai Penchala dan kita mahu bangunkan lebih banyak institusi lain dalam bidang pendidikan dan perubatan pula,'' katanya.

Beliau berkata, hasrat itu akan dapat direalisasikan jika syarikat-syarikat korporat berganding bahu dengan MAIWP dalam menyumbang tenaga dan dana.

''Dengan adanya sokongan dari mereka, ekonomi umat Islam bukan sahaja bertambah kuat malah kita tidak perlu terlalu bergantung lagi kepada dana daripada kerajaan,'' ujarnya.



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kota/20130917/wk_03/Syarikat,-ahli-korporat-diseru-bangunkan-Institusi-Wakaf-Korporat#ixzz2fxwh9qz5 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anda berada di: Halaman Utama Test Akhbar SYARIKAT, AHLI KORPORAT DISERU BANGUNKAN INSTITUSI WAKAF KORPORAT