Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Mei - Amalan wakaf tunai dilihat sebagai satu alternatif yang berupaya meningkatkan pemilikan dan menjaga aset-aset bernilai tinggi untuk kepentingan umat Islam di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Datuk Anan C. Mohd. berkata, melalui pengumpulan wa­kaf secara tunai, pihak berwajib boleh menggunakannya untuk pembelian aset kekal seperti hartanah dan seterusnya dibangunkan menjadi prasarana seperti kediaman mahupun ruang niaga khususnya untuk kegunaan perusahaan-perusahaan kecil bumiputera.

Katanya, harga hartanah ketika ini terlalu mahal mampu menyebabkan umat Islam tersisih di dalam arus pembangunan moden dan kesukaran memiliki harta, justeru kaedah secara wakaf tunai boleh dijadikan satu cara untuk menyelesaikan masalah itu.

?Wakaf secara tunai yang terkumpul ini membolehkan YWM, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan majlis agama Islam pelbagai negeri membangunkan projek-projek berimpak besar. Projek itu sama ada memberi kemudahan kepada orang ramai, menjana pendanaan semua serta pemilikan aset oleh orang Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

YWM merupakan unit di bawah Jawhar, Jabatan Perdana Menteri, yang ditubuhkan bagi mempromosi aktiviti wakaf di negara ini.

Anan berkata, kaedah wakaf tunai masih lagi baru dan kurang disedari oleh orang ramai, dan sebenarnya lebih memudahkan semua orang untuk berwakaf berbanding wakaf harta, yang mana tidak semua orang memiliki harta seperti hartanah.

?Kini pelbagai kemudahan telah diwujudkan bagi membolehkan orang ramai berwakaf seperti potongan gaji, mesin deposit tunai pelbagai perbankan atau menerusi kaunter Wakaf Tunai Malaysia di Pejabat YWM. Mereka boleh berwakaf serendah RM1," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, kaedah berwakaf secara tunai kurang meluas dengan ketika ini hanya 3,000 pewakaf persendirian yang direkodkan manakala yang terdiri daripada sektor korporat masih kurang mendapat sambutan.

?Kaedah wakaf secara tunai mampu menyediakan dana bagi membeli atau membangunkan aset-aset di kawasan-kawasan tumpuan. Misalnya, dana yang diperolehi itu boleh diguna bagi mengambil alih syarikat-syarikat perniagaan bagi menjaga kepentingan orang ramai," kata Anan lagi.

Beliau mengambil contoh, kaedah wakaf berjaya menempatkan Menara Bank Islam yang terletak di Jalan Perak, iaitu aset yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur berhampiran Menara KLCC.

Dengan kos pembinaan sebanyak RM151 juta, Menara Bank Islam didirikan di atas tanah wakaf seluas 0.48 hektar milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (LTH). Bank Islam Malaysia Bhd. adalah penyewa utama bangunan setinggi 34 tingkat itu.

 



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140512/ek_02/Wakaf-tunai-menjana-pemilikan-aset-umat-Islam#ixzz31Sk0q4xP 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

Sumber : Utusan Melayu Mingguan edisi 7 April 2014

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Syarikat-syarikat serta ahli-ahli korporat diseru bekerjasama membangunkan Institusi Wakaf Korporat bagi meningkatkan status ekonomi dan sosial masyarakat Islam di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zainal Abidin Jaffar berkata, kerjasama tersebut antara lain sebagai usaha menjadikan Institusi Wakaf Korporat sebuah institusi terulung dan platform pembangunan wakaf yang menjamin pemilikan ekuiti Muslim di Malaysia.

''Banyak tanah wakaf yang masih belum dimajukan kerana kita kekurangan dana dan hal demikian menyebabkan pelaksanaan untuk membangunkannya menjadi perlahan.

''Jadi dengan penyertaan lebih banyak syarikat atau ahli korporat, kita mengharapkan tanah-tanah tersebut dapat dibangunkan dengan lebih agresif seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam di seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Luncheon Talk Wakaf Korporat anjuran MAIWP baru-baru ini.

Dalam majlis ringkas yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli korporat yang mewakili lebih 200 syarikat itu, dua kertas kerja bertajuk Pengurusan Wakaf dan Wakaf Korporat Masa Kini masing-masing telah dibentangkan oleh Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Aziz Mohamad dan Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Siti Mashitah Mahamood.

Menurut Zainal Abidin, MAIWP kini memfokuskan untuk mendirikan lebih banyak institusi pendidikan dan pusat-pusat kesihatan di atas tanah wakaf yang masih belum dibangunkan.

''Jika kita lihat di luar, banyak institusi pendidikan yang telah berkembang pesat berasaskan daripada harta wakaf seperti Universiti Cordova di Andalusia, al-Azhar as-Syarif di Mesir, Universiti Islam Madinah dan sebagainya.

''Setakat ini, MAIWP telah mempunyai Pusat Pengajian Warga Emas dan Masjid al-Hidayah yang masing-masing dibangunkan di atas tanah wakaf di Kampung Sungai Penchala dan kita mahu bangunkan lebih banyak institusi lain dalam bidang pendidikan dan perubatan pula,'' katanya.

Beliau berkata, hasrat itu akan dapat direalisasikan jika syarikat-syarikat korporat berganding bahu dengan MAIWP dalam menyumbang tenaga dan dana.

''Dengan adanya sokongan dari mereka, ekonomi umat Islam bukan sahaja bertambah kuat malah kita tidak perlu terlalu bergantung lagi kepada dana daripada kerajaan,'' ujarnya.



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Kota/20130917/wk_03/Syarikat,-ahli-korporat-diseru-bangunkan-Institusi-Wakaf-Korporat#ixzz2fxwh9qz5 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MARANG: Kerajaan Pusat melalui Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) akan memperluas secara berperingkat projek pembangunan pusat latihan kemahiran untuk remaja dari kalangan anak keluarga asnaf di seluruh Negara

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’  Seri Jamil Khir Baharom berkata pusat latihan itu, seperti Akademi Kulinari Terengganu di sini, membuktikan kemampuan untuk mengeluarkan pelatih daripada kemiskinan. "Pembangunan akademi ini adalah kerjasama pintar institusi wakaf dan zakat dengan latihan untuk anak asnaf yang layak dibiayai dana zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) manakala Giatmara menyedia tenaga pengajar, modul, persijilan dan elaun bulanan. 

"Selepas tamat kursus, ada di antara mereka mampu menjana pendapatan sehingga RM4,000 sebulan dengan berniaga dari rumah dan ia diharap mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis graduasi pertama Akademi Kulinari Terengganu di sini, hari ini.
 

Seramai 76 pelatih sesi pertama dan kedua menamatkan latihan enam bulan dalam bidang pembuatan roti di akademi itu.
 
Akademi itu, yang dibina di atas tanah wakaf milik MAIDAM, dibiayai sepenuhnya oleh YWM dengan kos RM2.5 juta dan siap pada 30 Julai 2012 manakala operasinya dimulakan pada 2 Sep 2012.
 

Jamil Khir berkata, secara keseluruhannya, JAWHAR dan YWM memperuntuk RM53.4 juta kepada Maidam untuk pembangunan hartanah wakaf di Terengganu termasuk hotel, kompleks asrama pelajar wakaf Wan Mahmood di Besut, Bazar Wakaf Rakyat di Jerteh dan akademi itu.
 

- BERNAMA

 

Sumber dari Berita Harian

PUTRAJAYA: Satu mekanisme diperlukan untuk memastikan pembangunan harta wakaf berjalan lancar, sekali gus mampu memberi manfaat secara berterusan kepada pewakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sesuai dengan kesedaran dan kefahaman rakyat yang semakin meningkat mengenai wakaf, mereka juga ingin melihat pembangunan dilakukan terhadap harta diwakafkan itu.


“Di sinilah pentingnya satu mekanisme atau orang tengah untuk melicinkan pembangunan harta wakaf seperti penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar). 

“Mereka ini membantu menyelesaikan pelbagai isu atau masalah yang timbul ketika membangunkan harta wakaf seperti menguruskan permohonan di pejabat tanah atau pihak berkuasa lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Waqaf Menjana Ekonomi bersama Mufti Mesir, di sini, semalam.

 

Artikel Penuh: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012071704403820120717044038//Article/index_html
Hakcipta terpelihara 

Anda berada di: Halaman Utama Test Akhbar